KOTA BHARU – Semua penjawat awam di Kelantan bakal menikmati durian runtuh apabila menerima bonus sebanyak RM2,000 selepas kerajaan negeri mengumumkan Bantuan Khas Kewangan Penjawat Awam Negeri Kelantan 2024 hari ini.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, bantuan itu akan disalurkan pada bulan Februari tahun depan dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM18 juta.
Menurutnya, bantuan tersebut untuk menghargai jasa dan bakti pegawai selain kakitangan kerajaan negeri yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan penuh berintegriti untuk membangunkan negeri Kelantan.
“Bayaran penghargaan ini akan turut diberikan kepada pegawai-pegawai lantikan politik termasuk ahli-ahli majlis, penghulu, halakat dan penyelaras teknologi komunikasi maklumat (ICT) Dewan Undangan Negeri.
“Ia turut melibatkan penyelaras pembangunan armalah, guru pondok, guru al-Quran, guru fardu ain, guru jahitan mudarribah dan dibayar dengan kadar bersesuaian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Kelantan 2024 dengan tema Kelantan Mampan Berkat Sejahtera pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE