fbpx

Malaysia agresif tarik pelaburan tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, Muhammad Hakimi Abu Bakar pada Majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.- Foto SHIDDIEQIIN ZON

SHAH ALAM – Malaysia dijangka lebih agresif dalam membawa banyak pelaburan pada tahun berikutnya menerusi kestabilan politik yang dicapai ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan yang dilakukan termasuk dalam soal tatakelola akan membawa anjakan diperlukan bukan sahaja menyelamatkan negara malah mengangkat martabat menjadi negara hebat di rantau ini.

Katanya, beliau mengakui perubahan dilakukan itu tidak mudah namun perlu dimulakan dengan kerajaan ketika ini walaupun tidak disenangi banyak pihak.

“Apabila mereka (pelabur Geely, Elon Musk) datang ke mari (Malaysia) dan tanya pandangan apa istimewanya di Malaysia, mereka kata sekarang ini, Alhamdulillah politik stabil.

“Orang-orang politik bising di parlimen itu biasa, yang penting politik stabil. Orang yang mengidam mengambil alih kerajaan, agak susah sekarang ini.

“Mereka (pelabur) lihat juga ada dasar yang jelas. Maknanya pelabur datang sini sudah tahu dasar ekonomi, perindustrian, ekonomi Madani, transisi tenaga, transformasi digital. Ini semua membantu mereka datang Malaysia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis Anugerah Tangan Emas Perdana Menteri dan Anugerah Tokoh Mahir, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, sekiranya martabat negara ingin diangkat semula, perlu menguruskan ekonomi dengan baik dan latihan yang canggih selaras dengan keingian para pelabur.

Ujarnya, kejayaan itu juga dicapai apabila perubahan yang dilakukan disambut baik oleh kakitangan awam dan tenaga pengajar di institusi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta institut latihan yang lain.

“Syukur Alhamdulillah, Malaysia menjadi perhatian semula setelah ketinggalan beberapa lama (sebelum ini). Ini bukan sahaja pimpinan politik kerana umumnya tanpa terkecuali baik Geely, Infineon, Google, Elon Musk menyatakan mereka gembira dengan berpuas hati dengan kualiti tenaga mahir dan golongan profesional (di negara ini).

“(Bagaimanapun) kita harus meningkatkan lagi tingkat kemahiran dengan dikawal dengan displin baik dan akhlak baik supaya membawa lebih persespi (kepada pelabur) selain menambah ketrampilan (sebagai tenaga kerja mahir),” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI