fbpx

Konflik Palestin-Israel: Zionis wajib patuhi gencatan senjata 4 hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dirakam dari selatan Israel berhampiran sempadan Semenanjung Gaza menunjukkan asap tebal memenuhi udara selepas askar Zionis menyerang utara Gaza, semalam. - AFP

BANDAR GAZA – Israel dan Hamas bersetuju dalam perjanjian untuk membebaskan 50 tebusan wanita dan kanak-kanak yang ditahan di Gaza sebagai pertukaran kepada pembebasan 150 tahanan Palestin dari penjara sepanjang gencatan senjata selama empat hari, lapor akhbar The Guardian.

Perjanjian itu disahkan oleh seorang pegawai kanan Amerika Syarikat yang berkata, pembebasan tebusan pertama dijangka berlaku pagi ini, manakala jumlah tawanan yang dibebaskan diramal bertambah pada hari-hari akan datang.

“Pada akhirnya, perjanjian tersebut distrukturkan untuk membebaskan lebih 50 tebusan,” kata pegawai kanan tersebut sambil menambah, perjanjian itu digariskan untuk wanita dan kanak-kanak dalam fasa pertama.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri Israel berkata, penangguhan operasi ketenteraan ke atas Gaza akan dilanjutkan selama satu hari bagi setiap 10 lagi tebusan yang dibebaskan.

Ia bagaimanapun tidak menyatakan bila gencatan senjata akan bermula walaupun Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu memberitahu kabinetnya bahawa tahanan pertama perlu dibebaskan dalam tempoh 48 jam selepas perjanjian dipersetujui kedua-dua pihak.

Hamas dalam masa sama mengesahkan bahawa persetujuan itu telah dicapai dengan menyebutnya sebagai ‘gencatan senjata kemanusiaan’, di mana seramai 150 wanita dan kanak-kanak Palestin akan dibebaskan dari penjara Israel.

Tambah pergerakan pejuang Palestin itu, penghantaran bantuan kemanusiaan yang diperluaskan juga merupakan sebahagian daripada perjanjian tersebut, selain penghentian serangan udara Israel di selatan Gaza semasa gencatan senjata selama empat hari.

Ujarnya, serangan di utara Gaza pula dihadkan kepada enam jam sehari, manakala Israel bersetuju untuk tidak menangkap sesiapa sahaja di Gaza sepanjang tempoh gencatan senjata sementara itu berkuat kuasa.

“Kami komited untuk mematuhi gencatan senjata ini selagi pihak penceroboh (Israel) mematuhinya,” kata seorang pegawai Hamas kepada agensi berita AFP.

Dalam pada itu, satu kenyataan yang dikeluarkan Tel Aviv menyebut bahawa Kabinet Israel meluluskan garis panduan peringkat pertama dengan sekurang-kurangnya 50 orang yang diculik iaitu wanita dan kanak-kanak akan dibebaskan selama empat hari.

“Pertempuran akan reda (sepanjang tempoh tersebut).

“Pembebasan setiap 10 tahanan yang lain akan membawa kepada pertambahan satu hari lagi penangguhan (operasi ketenteraan),” kata kenyataan tersebut.

Pengesahan perjanjian itu berlaku susulan mesyuarat  38 anggota penuh Kabinet Israel mengenai syarat-syarat tersebut dengan perbahasan terakhir dilakukan sejurus sebelum pukul 3 pagi (waktu tempatan) di Tel Aviv. 

Sebelum pengundian dibuat, Netanyahu memberi jaminan kepada Kabinet bahawa semua agensi keselamatan menyokong perjanjian itu.

Namun, ia tidak bermakna Israel menamatkan serangannya ke atas Gaza yang menurut Netanyahu, akan disambung semula selepas gencatan senjata sementara berakhir.

“Kami sedang berperang dan perang akan berterusan sehingga semua matlamat kami tercapai,” katanya.

Perjanjian itu dicapai selepas rundingan berminggu-minggu diadakan dengan Qatar bertindak sebagai pengantara. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI