PUTRAJAYA – Kerajaan berharap isu kehilangan wang awam yang didedahkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022 akan dapat diberikan penelitian rapi untuk penambahbaikan.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan, pihaknya malah memandang serius setiap teguran ketirisan yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, Kementerian Kewangan (MOF) sentiasa peka dan prihatin dengan LKAN yang dibentang setiap tahun malah memastikan pihak ditegur membaiki kelemahan tersebut.
“Ia berhubung rapat masalah integriti seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah, maka jika isu ini boleh diatasi, banyaklah hasil dapat diselamatkan.
“Kita (kerajaan) bersusah payah hendak cari pendapatan negara, maka saya tahu banyak agensi MOF berusaha keras namun berasa kesal apabila tetap ada kebocoran,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hari Integriti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2023 bersama MOF dan agensi-agensinya di sini hari ini.
Semalam, Ketua Audit Negara, Datuk Wan Suraya Wan Mohd. Radzi menerusi LKAN itu mendedahkan kerugian berjumlah RM681.71 juta dana awam daripada enam program.
Ketirisan tersebut disebabkan berlaku kegagalan pematuhan peraturan dan prosedur setelah melakukan 16 pengauditan prestasi meliputi 14 kementerian dengan nilai RM208 bilion.
Dalam itu, beliau menambah bahawa tiada gunanya belanjawan besar diperuntuk saban tahun tetapi berlaku ketirisan mengakibatkan manfaat tidak sampai kepada rakyat.
Justeru, beliau meminta supaya kesemua ketua jabatan dan pegawai kewangan di setiap kementerian serta agensi mengurangkan kebocoran dana sehingga tahap paling minimum. – KOSMO! ONLINE