MELAKA – Kes penderaan kanak-kanak di negeri ini meningkat tiga kali ganda kepada 306 kes berbanding tempoh sama tahun lalu susulan kejadian yang dilaporkan berlaku di pusat taska dan jagaan kanak-kanak tidak berdaftar.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Nordin berkata, pertambahan 220 kes itu telah direkodkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sehingga semalam.
Jelasnya, lebih separuh daripada kes dilaporkan melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak yang beroperasi tanpa lesen.
“Kebanyakan kes dera yang berlaku di negeri ini melibatkan taska dan pusat jagaan kanak-kanak tanpa lesen manakala ada juga penderaan oleh ibu bapa berlaku di rumah.
“Baru-baru ini sebuah taska diarahkan tutup ekoran penderaan seorang kanak-kanak di Pertam, saya tengok sendiri kanak-kanak yang didera itu di hospital amat menyedihkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kutipan Sumbangan Tabung Palestin oleh Wanita UMNO Melaka di Dewan UMNO Hang Tuah Jaya, Bukit Katil di sini, semalam.
Pada majlis itu sebanyak RM116,135 telah diserahkan hasil kutipan dalam tempoh dua hari tabung itu dilancarkan di enam bahagian UMNO di Melaka.
Tambah Kalsom, ibu bapa diingatkan untuk memastikan anak masing-masing dihantar ke taska yang mempunyai lesen sah dikeluarkan JKM, selain meneliti keselamatan keadaan persekitaran. – KOSMO! ONLINE