SEPANG – Seorang wanita warga Indonesia nyaris maut selepas terjatuh dari tingkat 10 sebuah pangsapuri di Jalan Pinggiran Mas 1, Taman Mas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 7 pagi itu, mangsa berusia 42 tahun dikatakan terjatuh dari tingkat 10 sebelum tersangkut di beranda tingkat 7 pangsapuri berkenaan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 7.19 pagi membabitkan mangsa yang terjatuh dari sebuah pangsapuri.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, pihaknya menemui seorang wanita dalam keadaan terbaring di bahagian beranda tingkat 7 bangunan itu.
“Mangsa dikatakan mengalami kecederaan di bahagian pinggang. Mangsa kemudian diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE