fbpx

Jangan terpedaya ‘lesen terbang’ di media sosial – JPJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara pihak yang menawarkan ‘lesen terbang’ di media sosial.

PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) meminta agar orang ramai tidak mudah terpedaya dengan iklan lesen memandu tidak sah atau ‘lesen terbang’ melalui iklan di media sosial.

Ketua Pengarahnya, Datuk Rospiagos Taha berkata, pihaknya mengesan akaun media sosial di laman Facebook, Telegram dan lain-lain mengenai sindiket penipuan yang menjanjikan pengeluaran lesen memandu secara murah dan mudah tetapi tidak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan serta tidak sah disisi undang-undang.

Katanya, pemantauan oleh pihaknya mendapati, terdapat beberapa modus operandi yang digunakan oleh sindiket ini menggunakan platform media sosial untuk mempromosikan iklan dengan pelbagai kaedah pujukan termasuk memaparkan gambar lesen memandu JPJ.

“(Ia bertujuan) bagi menarik dan memikat orang ramai mendapatkan lesen tanpa ujian dan boleh didapati dalam tempoh yang singkat, murah, mudah dan sukar dikesan pihak berkuasa.

“Dimaklumkan bahawa lesen memandu yang dikeluarkan secara sah hendaklah mengikut tatacara dan prosedur latihan dan ujian memandu kompeten yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, JPJ ingin mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dengan sindiket penipuan pengeluaran lesen memandu secara tidak sah sebegini, yang menggunakan pelbagai kaedah serta teknikal komunikasi yang berbeza bagi mempengaruhi pemikiran orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jelasnya, pihaknya juga telah bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam mengesan pemilik akaun di media sosial yang menawarkan dan menjalankan operasi sindiket penipuan ini untuk tindakan selanjutnya.

“JPJ ingin menegaskan bahawa memiliki lesen tidak sah adalah satu kesalahan dibawah Seksyen 108 Akta 333.

“Memandu tanpa lesen yang sah bukan sahaja melanggar undang-undang, tetapi juga terdedah dengan risiko kemalangan yang membahayakan nyawa sendiri dan orang lain.

“Orang ramai yang berhasrat untuk mendapatkan lesen memandu secara sah boleh menghubungi Institut Memandu (IM) berhampiran yang berdaftar dengan JPJ,” ujarnya.

Rospiagos turut menyeru orang ramai untuk memberikan maklumat atau menyalurkan aduan sekiranya terdapat sindiket yang cuba menawarkan promosi pengeluaran lesen secara mudah dan murah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI