GEORGE TOWN – Ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah RM112.1 bilion.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pertumbuhan itu adalah melebihi pertumbuhan nasional iaitu 8.7 peratus.
“Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, ekonomi Pulau Pinang bertumbuh sebanyak 13.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 6.9 peratus pada tahun sebelumnya dengan nilai KDNK RM112.1 bilion (tahun 2021: RM99.0 bilion),” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) menjawab soalan Lee Boon Heng (PKR-Kebun Bunga) mengenai pemulihan ekonomi Pulau Pinang selepas pasca pandemik.
Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, sektor pembuatan merupakan penyumbang terbesar terhadap KDNK Pulau Pinang bagi tahun 2022 dengan 48.3 peratus daripada jumlah keseluruhan, mengekalkan pertumbuhan dua angka iaitu 15.9 peratus.
“Pada tahun 2021, sektor pembuatan telah menyumbang sebanyak 47.3 peratus dengan pertumbuhan sebanyak 12.4 peratus. Ini disokong oleh pembuatan produk elektrik, elektronik dan optikal,” katanya.
Tambah beliau, sektor perkhidmatan pula menyumbang sebanyak 46.7 peratus pada tahun 2022 berbanding 47.5 peratus pada tahun sebelumnya.- KOSMO! ONLINE