GEORGE TOWN – Seorang lelaki hilang pendapatan selepas berhenti kerja demi memberi perhatian penuh kepada anak lelakinya yang kini koma akibat kemalangan sejak lima bulan lalu.
Sedek Pawan, 61, berkata, kehidupan mereka sekeluarga berubah 360 darjah apabila dia dan isteri, Rohani Othman, 56, kini tidak lagi bekerja untuk menjaga Muhammad Zikri, 29, yang kini terlantar.
Katanya, anak kelima daripada lapan beradik itu sebelum ini dirawat di hospital selama tiga bulan sebelum doktor meminta mereka menjaganya pula di rumah selepas mendapati keadaannya semakin stabil.
“Kemalangan itu telah menyebabkan anak saya menghadapi masalah saraf yang teruk hingga memaksa tempurung kepalanya dikeluarkan.
“Bagaimanapun, sejak beberapa hari ini kami nampak ada perubahan positif apabila dia sudah mula membuka mata dan memberi reaksi apabila namanya dipanggil,” katanya ketika ditemui di Flat Jalan Kedah di sini kelmarin.
Menurut Sedek, ketika ini anaknya ada menerima bantuan RM800 daripada pusat zakat untuk membeli ubat-ubatannya.
Tambahnya, selain itu anaknya turut menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 untuk perbelanjaan harian.
“Jumlah itu sebenarnya tidak mencukupi kerana kami juga terpaksa menggunakan peruntukan yang sama untuk membayar sewa ambulans bagi mengambil dan menghantar Zikri ke hospital untuk rawatan susulan,” katanya.
Ujar Sedek, ambulans disewa pada kadar RM150 dan dia menggunakan perkhidmatan itu antara tiga hingga empat kali sebulan.
“Kami pun runsing setiap kali memikirkan hal tersebut kerana saya serta isteri tidak lagi bekerja selain mengharapkan bantuan daripada jiran dan anak-anak lain buat masa ini,” katanya yang berkhidmat sebagai tok siak di sebuah masjid di Kedah Road di sini.
Menurut Sedek, impiannya ketika ini hanya satu iaitu untuk melihat anak mereka kembali sihat seperti sediakala.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan pula boleh berbuat demikian dengan menyumbang menerusi akaun Sedek Pawan bernombor 0712341100016558 (BSN) atau menghubunginya di talian 017-434 0047.