SUNGAI PETANI – Seorang wanita sanggup merahsiakan kematian adik perempuannya yang juga orang kelainan upaya (OKU) dan tidur bersama mayat itu semalaman kerana panik dan ketakutan.
Mangsa yang berusia 29 tahun ditemui kakaknya dalam keadaan kaku dengan hidung dan mulut berdarah di sebuah bilik yang disewa di Bandar Puteri Jaya di sini pada pukul 7.30 pagi, Ahad lalu.
Kematian mangsa bagaimanapun hanya dimaklumkan kepada pihak polis pada pukul 2 petang keesokan harinya selepas kakaknya menceritakan perkara tersebut kepada tuan rumah.
Kakak mangsa berusia 36 tahun yang bekerja sebagai pembantu farmasi dikatakan menyorokkan kematian adiknya yang merupakan OKU pembelajaran kerana panik dan takut.
Malah, dalam tempoh lebih 24 jam kematian adiknya, wanita itu melakukan kerja seperti biasa sehinggakan kejadian tersebut tidak dapat dihidu jirannya.
Dua beradik itu menyewa bilik di rumah teres tersebut sejak Disember tahun lalu. Ibu dan bapa mereka dipercayai sudah meninggal dunia.
Susulan kejadian itu, pihak polis memberkas kakak mangsa bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pemeriksaan mendapati terdapat kesan darah pada hidung dan mulut si mati.
“Selain itu, ada kesan lebam dan luka pada tubuh wanita OKU itu. Mangsa dipercayai meninggal dunia lebih 24 jam selepas mayatnya ditemui.
“Selain suspek dan si mati, rumah itu turut disewa pekerja kilang dan dua pelajar yang sedang menjalani latihan amali di Hospital Sultan Abdul Halim di sini,” katanya di sini semalam.
Menurut Zaidy, kakak mangsa ditahan reman selama lima hari bermula semalam.
Sementara itu, jiran mangsa yang mahu dikenali sebagai Idrus, 36, memberitahu, suspek jarang bergaul dengan penduduk di kawasan kejiranan terbabit dan banyak menghabiskan masa di rumah setiap kali pulang kerja.
“Dia (suspek) hanya keluar ke pekan untuk menguruskan hal berkaitan kerja dan menjelaskan bil utiliti.
“Selain itu, dia akan keluar rumah untuk memberikan makanan kepada tiga ekor kucing peliharaannya.
“Mungkin dia keletihan kerana bekerja syif di sebuah hospital swasta di daerah ini, jadi tidak sempat bertegur sapa dengan jiran-jirannya termasuk saya,” katanya.
Bercerita lanjut, Idrus berkata, dia mendapat tahu bahawa dua beradik itu sudah kematian ibu dan bapa, namun mereka mempunyai ahli keluarga lain yang menetap di Bakar Arang.
“Sepanjang menyewa sejak Disember 2022, saya dan isteri juga tidak pernah melihat adik perempuannya. Mungkin dia habiskan masa dalam bilik.
“Pada pagi Isnin lalu, isteri saya menegur wanita itu (suspek) sewaktu dia memberikan makanan kepada kucing dalam sangkar di ruang garaj. Selepas itu dia keluar menaiki kereta jenis Hyundai,” kata lelaki itu.
Tambah Idrus, dia sekeluarga hanya mengetahui berlaku kematian di rumah tersebut selepas melihat kehadiran anggota polis pada petang hari sama.
Dalam pada itu, tinjauan Kosmo! di lokasi kejadian semalam mendapati rumah teres tersebut sudah dikosongkan.
Difahamkan, pekerja kilang dan dua pelajar yang menyewa di kediaman tersebut sudah berpindah keluar.