SHAH ALAM – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mendakwa parti blok pembangkang itu menjadi ancaman kepada Kerajaan Persekutuan sehingga empat anggota Parlimennya didakwa dihasut menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah, tindakan itu didakwa langkah muslihat untuk melemahkan Bersatu daripada terus mendapat tempat dalam kalangan pengundi Melayu dan Bumiputera serta sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Kerjaaan Madani semakin resah dengan Bersatu yang dikatakan sebagai parti semakin berkembang pengaruhnya menerusi ukuran dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Malah, ada dari kalangan pemimpin Bersatu semakin mendapat perhatian dan sokongan, musuh mula merasa resah. Dalam kalangan kita mula didekati, dipujuk rayu cuba disunting agar Bersatu dilihat lemah dan longlai.
“Ada dari dalam kalangan kita yang sentiasa lupa, musuh politik kita hanya mendekati kita apabila kita dilihat sebagai threat atau ancaman kepada kekuasaan mereka,” katanya ketika berucap pada perasmian serentak Armada, Srikandi dan Srikandi Muda dalam Perhimpunan Agung Tahunan Kelima Bersatu 2023 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini. hari ini.
Beliau menegaskan, Bersatu bersama PN akan kekal sebagai pembangkang yang memainkan peranan sebagai semak dan imbang terhadap polisi, tadbir urus dan tindakan Kerajaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE