PETALING JAYA – Kestabilan politik di bawah Kerajaan Perpaduan mengundang kehadiran semakin banyak pelabur ke negara ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kelibat industri dan syarikat besar semakin rancak ke Malaysia memberi manfaat dan memenuhi keperluan belia negara dalam kerjaya serta masa depan.
“Sementelahan, kestabilan politik itu penting untuk pelaburan yang menuntut kebijakan yang jelas, termasuk peralihan ke arah Tenaga Boleh Diperbaharui (RE), tenaga hijau, transformasi digital dan segala yang terkait.
“Saya titipkan pesanan agar anak-anak muda dan belia negara meningkatkan latihan dan kemahiran tambahan yang karang akan membolehkan mereka mendapat pendapatan yang lebih tinggi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Dalam hantaran berasingan, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan berjumlah RM6.8 bilion kepada institusi InstitAnwar usi Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) harus digunakan sebaik mungkin meneroka bidang baharu.
Menurutnya, ia termasuk mewujudkan kursus teknologi baharu seperti Kepintaran Buatan (AI) yang menuntut perubahan semua pihak terkait hatta bakal mendapat pendapatan yang lebih tinggi untuk para belia negara terkait dengan TVET.
“Justeru, saya singgung agar Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam bidang AI dan kerana itu dalam Belanjawan 2024 diumumkan fakulti AI pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia.
“Malaysia tidak boleh ketinggalan disebabkan teknologi berubah dengan cepat dan laju, jadi ayuh semua bangkit dan terus maju bekerjasama dengan industri dalam mempertingkatkan kemahiran tinggi rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE