MIRI – Sebuah rumah panjang, Rh. Judan Selin di Marudi, di sini dimasuki air sedalam 0.3 hingga 0.4 meter akibat hujan lebat, hari ini.
Bagaimanapun, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, tiada pemindahan dilakukan ke atas penduduk rumah panjang terbabit.
“Bomba dimaklumkan bahawa penduduk sudah terbiasa dengan kejadian banjir kilat tersebut.
“Pihak bomba menasihati penduduk untuk mengambil langkah keselamatan sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, beliau berkata pemantauan yang dijalankan susulan laporan yang diterima kira-kira pukul 11 pagi tadi turut mendapati berlaku limpahan air dari di bahu jalan memasuki jalan utama.
Katanya limpahan air juga menyebabkan kejadian banjir kilat dengan anggaran ketinggian paras air lebih kurang 0.2 meter sehingga 0.35 meter di kawasan rendah.
“Pergerakan limpahan air menghala ke anak sungai berhampiran agak laju,” katanya. – KOSMO! ONLINE