fbpx

Banglo sindiket kerja palsu diserbu, 17 ahli diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAINOL Samah (dua dari kiri) melihat komputer milik sindiket penipuan yang dirampas dalam sidang akhbar di IPK Melaka, Bukit Beruang, Melaka. -Foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/KOSMO!

MELAKA – Seramai 17 individu termasuk tiga lelaki warganegara China ditahan selepas disyaki menjalankan kegiatan penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian di Ayer Keroh, semalam.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah berkata, kesemua 16 lelaki dan seorang wanita berusia 17 hingga 40 tahun itu ditahan pada pukul 12.23 tengah malam di sebuah banglo dua tingkat.

Katanya, ketika serbuan, kesemua suspek berada di banglo tersebut dan sedang menjalankan aktiviti panggilan.

“Polis Melaka dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berjaya menumpaskan satu sindiket penipuan tawaran kerja sambilan tidak wujud secara dalam talian.

“Ketika serbuan dibuat, suspek dipercayai penyelia kumpulan itu bertindak melarikan diri dengan terjun dari tingkat dua dan mengalami patah kaki,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di sini, semalam.

Ujarnya, modus operandi sindiket adalah menjadikan rakyat Britain sebagai mangsa dengan memberikan pautan pendaftaran pekerjaan bagi mendapat komisyen sebanyak AS$0.35 (RM1.64).

“Mangsa yang terpedaya memasukkan sejumlah wang bagi mendapatkan komisyen yang tinggi dan akhirnya mereka telah ditipu.

“Polis turut merampas sebanyak 18 buah komputer, 60 buah telefon bimbit, dua buah kenderaan, serangkai kunci dan dua pasport antarabangsa dengan nilai rampasan dianggarkan lebih RM100,000,” ujarnya.

Tambah Zainol, kesemua suspek dibayar gaji RM4,000 sebulan tidak temasuk komisyen 10 peratus daripada jumlah wang yang diterima daripada mangsa dan kumpulan itu dipercayai serpihan daripada sindiket yang telah ditumpaskan di Langkawi, Kedah pada awal tahun ini.

Katanya, kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga 25 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan kerana kesalahan pakat jahat.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kontinjen Melaka telah merekodkan sebanyak 198 kes penipuan tawaran pekerjaan tidak wujud dan menangkap 131 individu bagi tempoh 1 Januari hingga 21 November membabitkan kerugian berjumlah RM3.97 juta. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI