PETALING JAYA – Belum sebulan meminta maaf, wanita yang menuduh pelakon Aniq Suhair membuntingkannya membuat pusingan U apabila kembali dengan dakwaan baharu menyatakan lelaki terbabit memanipulasi fakta.
Perkara itu didedahkan menerusi siri hantaran perkongsiannya dalam akaun TikTok di bawah nama
@aifanbila1 selain menyatakan mempunyai bukti laporan polis bahawa pemilik nama Muhammad Aniq Suhair Mohd. Salleh itu telah menghamilkannya.
“Sebenarnya memang betul Aniq Suhair telah buat saya hamil tapi dia telah memanipulasi saya dan menjanjikan macam-macam supaya saya membersihkan namanya.
“Ini bukti kami di balai polis bersama peguam dia. Jadilah lelaki yang bertanggungjawab. Berhenti mengkhianati orang, cukuplah berpura-pura untuk mencari validasi manusia,” tulis wanita terbabit.
Menerusi video disertakan, individu yang enggan mendedahkan identiti itu turut berkongsi tangkap layar mesej perbualan menunjukkan keengganan Aniq menjalani ujian paterniti DNA terhadap bayi yang dikandungnya.
Dalam hantaran lain, individu berkenaan turut meminta mana-mana peguam membantu membawa isu yang membelenggu dirinya ke muka pengadilan.
Menurutnya lagi, tindakan yang dilakukannya sekali lagi ini bukan berniat untuk menjatuhkan reputasi Aniq, namun hanya mahu aktor terbabit melunaskan tanggungjawab seperti dijanjikan.
Pada 1 November lalu, wanita terbabit tampil membuat permohonan maaf secara terbuka dengan menyatakan terkhilaf ketika mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap aktor berusia 22 tahun itu.
Katanya, ketika itu dakwaan dibuat kerana dirinya mengimpikan Aniq menjadi miliknya.
Sebelum itu Aniq lebih dulu memberi amaran mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang memburukkan nama baiknya susulan tular dalam media sosial wanita terbabit mendakwa hamil berikutan perbuatan seorang selebriti lelaki.
Dakwaan itu menyatakan artis lelaki dimaksudkan enggan bertanggungjawab selain menggesanya supaya menggugurkan kandungan.
Nama pelakon drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu menjadi perhatian kerana dia memberi bayangan pelaku adalah seorang pelakon lelaki yang sedang dalam proses memperbaiki diri ke arah lebih baik.
Dalam kenyataan sama, Aniq turut memaklumkan dia juga akan membuat laporan polis berhubung fitnah dilemparkan terhadapnya. – KOSMO! ONLINE