fbpx

21,200 saman, 109 tangkapan babit kenderaan berat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Razarudin ketika berucap pada perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman hari ini

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan sebanyak 21,200 saman dengan 109 tangkapan melalui Op Perdagangan terhadap kenderaan-kenderaan berat bermula 20 September hingga 14 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tindakan tersebut dilakukan hasil daripada 135,193 kenderaan diperiksa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman dalam tempoh tersebut.

Katanya, kes kemalangan berpunca daripada kesalahan membawa muatan berlebihan dan keadaan fizikal kenderaan tidak memuaskan telah mengorbankan nyawa orang ramai yang tidak bersalah.

“Justeru, JSPT telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan Op Perdagangan secara berterusan terhadap kenderaan berat bagi memastikan pemandu dan pengusaha syarikat pengangkutan mematuhi peraturan serta undang-undang keselamatan jalan raya.

“Sebanyak 1,078 operasi dilaksanakan sejak Januari hingga November ini berbanding 797 operasi untuk tempoh sama, tahun lalu.

“Menerusi operasi ini pelbagai kesalahan telah dikesan seperti membawa muatan berlebihan dan dalam keadaan fizikal tidak memuaskan yang boleh menjadi penyumbang kemalangan jalan raya,” katanya dalam Perhimpunan Bulanan PDRM di Bukit Aman hari ini.

Dalam perkembangan lain, Razarudin turut merakamkan penghargaan kepada JSPT atas beberapa kejayaan diperolehi antaranya memenangi dalam kategori Penambahbaikan di Majlis Persada Inovasi Peringkat PDRM 2023 dan meraih tempat pertama bersama dengan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dalam pertandingan inovasi Kementerian Dalam Negeri menerusi aplikasi MyBayar PDRM.

Jelas beliau, selain itu, JSPT berjaya melaksanakan pembekalan dokumen kemalangan meliputi keputusan kes, rajah kasar dan gambar yang boleh diakses oleh pengadu melalui aplikasi tersebut.

“Aplikasi ini juga memudahkan pengadu membuat tuntutan pembayaran dengan pihak insurans. Selain itu, saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga JSPT kerana banyak melakukan tugas di luar skop masing-masing.

“Banyak berita dan gambar dikongsi pengguna media sosial bagaimana anggota membantu pengguna jalan raya termasuklah membersihkan longkang tersumbat,” katanya.

Tambah Razarudin, beliau yakin setiap anggota melakukan dengan seikhlas hati tanpa mengharapkan ganjaran apa-apa dalam hal tersebut.

“Saya juga mengingatkan warga pasukan polis terutama pegawai dan anggota bahawa segala tindak tanduk kita sama ada yang baik atau sebaliknya sentiasa berada dalam radar masyarakat.

“Untuk itu mari kita tanamkan sikap bertanggungjawab berintegriti di tahap yang baik bagi dalam keadaan apa jua,” katanya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI