fbpx

Sime Darby Property kaji cadangan pembangunan Tiara Residence, Bukit Jelutong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN penduduk Bukit Jelutong hadir pada perhimpunan aman bagi membantah pembinaan projek perumahan dekat sebuah kawasan riadah di Bukit Jelutong, Shah Alam, Sabtu lalu. - Foto oleh MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS/ KOSMO!

PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) sedang mengkaji cadangan pembangunan Tiara Residence yang melibatkan kawasan hijau di Bukit Jelutong, Shah Alam.

Sime Darby Property dalam satu kenyataan berkata, tindakan tersebut dibuat susulan bantahan yang dilakukan penduduk Bukit Jelutong pada Sabtu lalu.

“Kami sedang mengkaji cadangan pembangunan terbabit dan penduduk yang prihatin serta pihak berkepentingan akan dirujuk sebagai sebahagian daripada proses.

“Kami memahami dan akan terus meneroka pelbagai kemungkinan jalan penyelesaian dengan memikirkan kepentingan semua pihak yang terbabit.

“Sime Darby Property juga mengakui bahawa perkara ini memerlukan perancangan yang teliti, tindakan yang bernas dan akan kekal komited dengan jalan ini,” jelas kenyataan itu.

Menurut Sime Darby Property, pihaknya sudah mengundang Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA) untuk sesi perbincangan bagi meneroka resolusi secara kolaboratif.

Terdahulu, lebih 1,000 penduduk Bukit Jelutong mendesak pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak meneruskan projek pembangunan di padang hijau yang berkeluasan kira-kira 28 hektar di lokasi berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Bukit Jelutong (BJRA), Zien Hashim berkata, hasrat pemaju membangunkan 425 unit rumah di atas padang hijau terakhir itu adalah suatu tindakan mengecewakan.

Tegasnya, padang hijau berkenaan perlu dikekalkan kerana sudah tiga dekad ia diguna sebagai kawasan riadah penduduk sekitar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI