PUTRAJAYA – Taktik sebuah pusat hiburan menggunakan modus operandi pembelian selempang untuk dihadiahkan kepada wanita warga asing bagi menjadi teman berhibur terbongkar apabila seramai 22 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan semalam.
Dalam serbuan dilakukan Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang itu, 22 PATI ditahan itu masing-masing lima wanita warganegara Vietnam, 15 (Thailand) selain dua orang lelaki warganegara Thailand yang berpakaian serta perwatakan wanita.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menyerbu sebuah premis hiburan di Georgetown dan menahan seramai 22 PATI.
“Dalam operasi yang bermula pukul 10.30 malam itu, seramai 32 orang individu telah diperiksa. Daripada jumlah itu, seramai 22 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Operasi itu dijalankan berdasarkan daripada aduan awam dan risikan JIM berkenaan kegiatan pusat hiburan yang menawarkan wanita warga asing sebagai GRO,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Katanya, semasa serbuan, sebilangan warga asing turut melarikan diri dengan naik ke tingkat atas premis dan bersembunyi dalam stor di tingkat dua.
“Stor itu agak gelap serta dipenuhi oleh barang-barang perabot dan barangan elektrik yang telah rosak.
“Pegawai serbuan terpaksa menyelongkar di celah-celah timbunan perabot yang rosak bagi mengesan kesemua suspek sehingga mereka berjaya ditahan dan ditangkap,” jelasnya.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi serbuan mendapati pusat hiburan itu menawarkan GRO wanita asing untuk melayan dan sebagai teman pelanggan berhibur.
“Pelanggan perlu membeli selempang untuk dihadiahkan kepada GRO yang dipilih. Setiap selempang berharga dari RM100 hingga RM300,” katanya.
Antara kesalahan dikenal pasti termasuklah menyalahgunakan Pas Jangka Panjang dan Pas Lawatan Sosial selain kesalahan lain yang melanggar Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Juru, Pulau Pinang untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE