KES keganasan fizikal dilakukan pelakon muda Leon Dozan terhadap kekasihnya, Rinoa Aurora Senduk difahamkan bukan kejadian pertama.
Anak kepada aktor Willy Dozan itu pernah melakukan kekasaran terhadap wanita itu sekitar awal bulan dan mengulang tindakan sama sehingga Rinoa mengalami lebam di beberapa angota badan, baru-baru ini.
Sebelum ditahan pihak berkuasa, anak muda berusia 26 tahun itu dikatakan sengaja menunjukkan keberanian kononnya tidak takut kepada pihak polis angkara mencederakan wanita itu.
Begitupun, ketika video penahanannya tersebar, Leon dilihat merayu kepada pihak berkuasa agar tidak memenjarakannya.
Biarpun kekasihnya difahamkan enggan meneruskan laporan polis, ibu bapa gadis terbabit tetap bertegas selepas melihat kesan yang dialami anak mereka.
“Saya minta maaf kerana sudah melakukan kesalahan mengata institusi polis. Saya silap atas perbuatan tersebut dan kini menyesal,” ucap Leon yang menjalin hubungan dengan mangsa sejak Oktober 2022.