PETALING JAYA – Pembangkang lebih berminat mencari modal politik, melaga-lagakan dan menanam bibit berbanding bekerjasama dalam menangani isu berkait petisyen mencabar Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu hantaran di Facebook sekali lagi menegaskan, adalah tidak wajar untuk mengaitkan kerajaan dengan dakwaan dan sangkaan jahat kononnya kerajaan menentang pemerkasaan undang-undang syariah.
“Itu yang saya jelaskan sewaktu sesi Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam. Kita boleh bersama dalam hal ini tetapi pembangkang lebih berminat mencari modal politik, melaga-lagakan, menanam bibit. Walhal, kes ini bermula saat mereka semua di dalam kerajaan.
“Kerajaan Perpaduan bertindak dengan menubuhkan jawatankuasa khas yang diperakui oleh Majlis Raja-Raja sebagai usaha untuk mengangkat martabat Mahkamah Syariah. Kerajaan dahulu buat apa?,” katanya dalam hantaran tersebut hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau turut menyatakan di Dewan Rakyat semalam bahawa kerajaan menghormati sebarang keputusan yang akan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berhubung petisyen tersebut.
Menurut beliau, keputusan tersebut juga tidak menghalang kerajaan untuk melakukan penelitian dan perbincangan melalui Jawatankuasa Khas yang dijadual bersidang pada 4 Disember ini.
“Sebarang cadangan pindaan dan penambahbaikan Mahkamah Syariah yang dikemukakan akan dimohon untuk mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebelum dibentangkan di Parlimen,” katanya. – KOSMO! ONLINE