fbpx

Keutamaan baginda bukan jaga 222 Ahli Parlimen – Sultan Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

JOHOR BAHRU – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah pelantikan Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 bukanlah satu kenaikan pangkat tetapi tambahan tanggungjawab yang memerlukan pengorbanan masa dan tenaga sebagai Ketua Negara.

Sultan Ibrahim bertitah, keutamaan Baginda bukan untuk menjaga kepentingan politik 222 wakil rakyat, tetapi 33 juta rakyat Malaysia, dan perkara itu akan menjadi kepentingan Baginda.

“Saya merasakan negara pada hari ini telah dijangkiti satu virus yang pernah saya sebutkan dahulu semasa di Pasir Gudang iaitu virus perpecahan.

“Virus ini berpunca daripada pemimpin politik yang sanggup berbalah, caci-mencaci, menabur fitnah dan memecah perpaduan rakyat demi mengejar kuasa dan kedudukan demi kepentingan diri sendiri,” titah Baginda.

Sultan Johor bertitah demikian dalam Majlis Istiadat Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Ke-65 di Dewan Singgahsana Istana Besar Johor Bahru, hari ini.

Justeru, Baginda bertitah menyeru semua pemimpin bertolak ansur dan hormat menghormati di antara satu sama lain untuk meningkatkan kemakmuran serta kesejahteraan hidup rakyat.

Titah Baginda, sepanjang tempoh memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong, Baginda perlu melepaskan tampuk pemerintahan negeri kepada Tunku Mahkota Johor yang akan Baginda lantik sebagai Pemangku Sultan.

Justeru, Baginda amanahkan kepada kerajaan Negeri untuk memberi tunjuk ajar kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

“Sama macam mana saya dibimbing sebagai Pemangku Sultan ketika Almarhum ayahanda saya menjadi Yang di-Pertuan Agong pada tahun 1984.

“Pemangku Sultan akan memikul tanggungjawab untuk menjaga negeri dan rakyat Johor, serta menjalankan segala hak dan kuasa pemerintahan negeri kecuali sebagai Ketua Agama Islam.

“Walaupun saya bersemayam di Istana Negara, ini bukan bermakna saya berhijrah terus ke Kuala Lumpur. Saya akan selalu balik ke Johor kerana ini kampung saya. Harap orang Johor janganlah lupakan saya dan janganlah buat tak kenal saya selepas ini,” titah Baginda.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI