SEJAK akhir-akhir ini, tabiat merokok di tempat awam amat membimbangkan lebih-lebih lagi di kawasan dikelilingi oleh mereka berisiko seperti orang tua, kanak-kanak dan seumpamanya.
Keadaan ini seakan-akan sukar dikawal, malah perokok-perokok tanpa rasa bersalah melakukannya biarpun tertera larangan merokok di depan mata mereka.
Bagi perokok, ‘aku beli rokok dengan duit aku dan bukannya dengan duit kamu’. Orang awam juga berhak memastikan kesihatan mereka terjamin dan tidak terkesan disebabkan kealpaan orang lain.
Tabiat merokok di tempat awam sebenarnya menzahirkan sikap pentingkan diri sendiri dan cuba untuk mencabar pihak berautoriti meskipun mereka mengetahui akibat daripada perbuatan tersebut.
Dari segi hukum, semua sudah maklum mengenainya sama ada daripada khutbah-khutbah Jumaat atau media massa, namun perokok tegar tetap tidak mengendahkannya.
Apa yang menyedihkan, ramai dalam kalangan perokok adalah daripada golongan cerdik pandai, berpendidikan tinggi dan kelompok ketua-ketua masyarakat. Sepatutnya mereka harus menjadi contoh kepada masyarakat.
Pihak kerajaan tidak boleh lagi menganggap cukai rokok merupakan sumber pendapatan.
Hal ini berikutan mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam satu laporan berita pernah menyatakan bahawa pada tahun 2020 kerajaan membelanjakan RM6.2 bilion bagi merawat pesakit merokok.
Ia jauh berbeza dengan kutipan cukai produk tembakau iaitu RM3 bilion, malah kos rawatan itu dijangka meningkat sehingga RM8.8 bilion menjelang tahun 2030.
Ujar Khairy lagi; “Ramai tidak tahu kos yang ditanggung kerajaan ini adalah lebih tinggi daripada jumlah kutipan cukai produk tembakau.”
Kenyataan itu menunjukkan bahawa cukai rokok bukan lagi sumber pendapatan, sebaliknya ia menjadi liabiliti ‘beban’ kepada kerajaan.
Selain daripada 23 tempat yang pernah diwartakan sebagai tempat larangan merokok, MyHEALTH satu ketika menyatakan: “Tepat pukul 12.01 tengah malam pada 1 Januari 2020 bermulalah penguatkuasaan penuh larangan merokok di premis makanan.”
Sekalipun agak terlewat, ia merupakan satu tindakan yang amat dialu-alukan bagi menyelamatkan banyak nyawa tidak berdosa.
Isu larangan merokok di tempat awam tidak sepatutnya dipolitikkan, bahkan ia menjadi agenda yang perlu diperjuangkan secara berterusan oleh pihak memegang tampuk pemerintahan.
Membangunkan tahap kesihatan rakyat merupakan antara dasar penting dan tanggungjawab kerajaan.
Jangan jadikan penguatkuasaan larangan merokok di tempat-tempat awam hanya bermusim atau dilaksanakan mengikut ‘mood’.
Penguatkuasaan berterusan sepatutnya diteruskan dan diperjuangkan sepertimana ketegasan dalam kes-kes penyalahgunaan dadah, rasuah dan seumpamanya sekalipun berlaku pertukaran tampuk pemerintahan.
Memang tidak dinafikan ketegasan sebegini akan mendapat bantahan oleh segelintir pihak, namun kemaslahatan umum dan kesejahteraan rakyat perlu diutamakan.
Tidak dinafikan bahawa pihak kementerian berkaitan telah memperkenalkan talian khas untuk membuat aduan jika terdapat pihak-pihak yang merokok di tempat larangan. Bagaimanapun, ia perlu diikuti dengan penguatkuasaan tegas secara berterusan.
Ini kerana, usaha penguatkuasaan terhadap kesalahan merokok di tempat awam masih lagi pada tahap agak lemah.
Penguatkuasaan larangan ini tidak seharusnya dipikul oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan penguatkuasa tempatan sahaja.
Sebaliknya, semua pihak perlu mengambil bahagian dalam hal ini, termasuklah agensi di bawah kementerian berkaitan seperti Kementerian Dalam Negeri dan lain-lain.
Denda-denda yang dikenakan kepada pesalah merokok di tempat-tempat awam juga agak rendah dan perlu dibuat semakan semula.
Kenaikan harga dan cukai rokok juga dilihat gagal untuk menghentikan atau mengurangkan tabiat merokok.
Untuk tindakan lanjut, kedai-kedai makan atau restoran sepatutnya dilarang daripada menjual sebarang bentuk serta jenis rokok.
Peniaga-peniaga juga perlu dikenakan hukuman lebih berat jika terlibat dalam urusan jual beli rokok kepada pembeli-pembeli di bawah umur.
Selain denda, hukuman alternatif juga perlu difikirkan agar ia dapat memberikan kesan lebih maksimum kepada perokok degil kerana kadar denda dikenakan kadangkala tidak memberi kesan.
Hukuman alternatif yang lebih bersifat psikologi seperti membersihkan tempat awam, rumah kebajikan dan seumpamanya perlu diperkenalkan kerana lebih memberi kesan tidak kiralah kepada golongan kayangan atau biasa.
Sekalipun ia kelihatan agak keras, tapi itulah cara untuk mengawal dan menghentikan tabiat merokok di tempat-tempat larangan khususnya di kedai makan.