PETALING JAYA – Infrastruktur jalan di Tun Razak Exchange (TRX) yang bakal dibuka pada 29 November ini dijangka mengurangkan kadar kesesakan di bandar raya Kuala Lumpur sebanyak 30 peratus.
Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, beliau telah turun padang bagi melihat sendiri persediaan infrastruktur jalan di TRX hari ini.
“Laluan ini akan menghubungkan TRX dengan 12 rangkaian jalan raya dan lebuh raya utama termasuk Jalan Tun Razak, Jalan Sultan Ismail, Lebuhraya Maju (MEX), Terowong SMART, dan Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE).
“Tinjauan ini tadi turut meliputi laluan terowong kenderaan bawah tanah sepanjang lima kilometer yang akan mempunyai sambungan terus ke Jalan Tun Razak dan lebuh raya SMART.
“Mewujudkan sistem gelung yang menyediakan akses ke dan dari jalan-jalan utama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook. – KOSMO! ONLINE