BANDAR GAZA – Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza mendakwa bahawa Israel cuba menjadikan Hospital Indonesia sebagai ‘kubur awam’ selepas tenteranya menyasarkan kemudahan itu kelmarin sehingga mengakibatkan sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh, lapor laman berita TRT World.
“Penceroboh Israel cuba mengubah Hospital Indonesia menjadi kubur awam, sama seperti yang mereka lakukan kepada Hospital Al-Shifa.
“Kini mereka mengulangi tindakan itu ke atas Hospital Indonesia yang menjadi tulang belakang perkhidmatan penjagaan kesihatan di utara Gaza,” kata jurucakap kementerian berkenaan, Ashraf Al Qudra.
Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dalam tembakan askar Zionis Israel yang menyasarkan hospital tersebut, manakala 17 lagi rakyat Palestin maut dalam serangan berasingan di sebuah hospital di selatan Gaza.
Kementerian Dalam Negeri di wilayah yang terkepung itu berkata, beberapa orang terbunuh dan cedera akibat diserang askar Israel ketika mereka cuba meninggalkan Hospital Indonesia.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan di Gaza dalam kemas kininya semalam berkata, seramai 200 pesakit dipindahkan dari Hospital Indonesia dengan bantuan Palang Merah, beberapa jam selepas ia diserang oleh tentera Israel.
Menurut Ashraf, kesemua mereka dipindahkan dari hospital tersebut di Jabaliya dan dibawa menaiki beberapa buah bas ke Hospital Nasser di bandar selatan Gaza, Khan Yunis.
“Tentera Israel mengepung Hospital Indonesia. Kami bimbang perkara sama akan berlaku di sana seperti yang berlaku kepada Hospital Al-Shifa,” katanya yang merujuk kepada hospital terbesar di Gaza yang diserbu oleh tentera Israel sejak Rabu minggu lalu.
Pemindahan hospital yang mempunyai 140 katil dan terletak berhampiran kem pelarian Jabaliya itu dilakukan dengan penyelarasan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
“Masih terdapat 400 pesakit di hospital berkenaan dan kami bekerjasama dengan ICRC untuk membawa mereka berpindah,” ujarnya sambil menambah, kira-kira 2,000 orang yang kehilangan tempat tinggal berada di dalam dan sekitar hospital tersebut.
Pentadbiran Gaza kendalian Hamas sebelum ini melaporkan bahawa berpuluh-puluh kereta kebal dan kenderaan berperisai dikerahkan di sekitar hospital tersebut dengan ada yang menembak ke arah kemudahan itu.
Dalam pada itu, akhbar Arab News melaporkan, pertempuran hebat meletus di sekitar Hospital Indonesia kelmarin ketika tentera Israel menyasarkan kemudahan perubatan itu yang didakwa digunakan oleh pejuang Hamas untuk dijadikan tempat perlindungan.
Seorang pekerja perubatan di Hospital Indonesia, Marwan Abdullah berkata, kereta-kereta kebal tentera Israel dapat dilihat dari tingkap kemudahan itu.
“Anda boleh melihat mereka bergerak dan menembak. Wanita-wanita dan kanak-kanak ketakutan. Terdapat bunyi letupan dan tembakan senjata api berterusan,” ujarnya.
Rakaman stesen penyiaran Al-Jazeera yang disiarkan dan dipercayai dirakam dari dalam hospital tersebut menunjukkan kereta-kereta kebal melepaskan bedilan di luar kemudahan itu.
Marwan berkata, pihak hospital menerima puluhan mangsa yang terkorban dan cedera dalam serangan tentera udara serta tembakan. – AFP/AGENSI