KUALA LUMPUR – Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang provokasi semasa atau selepas konsert kumpulan rock Coldplay: Music Of The Spheres World Tour yang dijadual berlangsung di Stadium Bukit Jalil, hari ini.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekacauan pada konsert berkenaan.
Kata beliau, dijangka 75,000 penonton akan menghadiri konsert itu selain pemeriksaan badan, beg dan barangan akan dilakukan di pintu masuk bagi tujuan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Pengunjung dilarang membawa masuk mercun, topi keledar, laser, objek tajam, senjata, minuman keras, payung atau tongkat, powerbank dan botol.
“Selain itu, turut dilarang membawa masuk pemetik api, rokok dan rokok elektronik, pembesar suara dan menerbangkan dron,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Zam Halim berkata pihak polis tidak akan bertanggungjawab terhadap barang larangan yang dirampas semasa pemeriksaan di pintu masuk ataupun dalam kawasan perkarangan stadium.
Tegas beliau, orang ramai yang hadir ke konsert berkenaan dinasihatkan untuk menggunakan pengangkutan awam dan tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan sekitar laluan masuk dan keluar stadium.
“Orang ramai juga dinasihati mematuhi arahan anggota polis yang bertugas, mengamalkan sikap tolak ansur dan bersabar ketika memandu di sekitar stadium berkenaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE