SKOPJE – England menamatkan saingan kelayakan Euro 2024 tanpa sebarang kekalahan selepas mencatat keputusan seri 1-1 menentang Macedonia Utara pada aksi terakhir Kumpulan C di Tose Proeski Arena awal pagi semalam.
Biarpun berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang saingan, pengendali England, Gareth Southgate nyata tidak begitu gembira menyaksikan ketumpulan jentera serangan biarpun berjaya mendapatkan banyak peluang terbaik.
“Mungkin apa yang kurang memuaskan hati saya adalah dari segi penyudah. Memang sukar untuk menembusi benteng pertahanan mereka, namun ketumpulan jentera serangan juga menyebabkan kami gagal menjaringkan gol,” ujar Southgate.
Meskipun gagal menutup saingan kelayakan dengan kemenangan, namun Southgate tetap gembira dengan keputusan itu kerana menganggap pertemuan dengan Macedonia Utara sebagai aksi berbeza.
Beliau menganggap keputusan seri itu langsung tidak memberi kesan kepada skuad The Three Lions memandangkan saingan utama mereka adalah ketika menentang Itali dan Ukraine pada pertemuan sebelum ini.
“Bagi saya, perlawanan besar untuk kami adalah semasa bertemu Itali dan Ukraine. Oleh itu, pertemuan dengan Macedonia Utara malam ini (semalam) adalah perlawanan yang sangat berbeza.
“Biarpun kami sudah layak ke pusingan akhir dan mencapai sasaran, namun pemain-pemain sentiasa menunjukkan mentaliti cukup baik walaupun terpaksa beraksi di atas padang yang kurang memuaskan,” katanya. – AGENSI