MANCHESTER – Bekas pemain pertahanan Manchester City, Benjamin Mendy menyuarakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kelab tersebut kerana berhutang jutaan ringgit dengannya.
Pemain Perancis itu sedia untuk mengheret City ke tribunal pekerja dalam usahanya mendapatkan semula gajinya yang dipotong selepas dia didakwa atas kesalahan serangan seksual dua tahun lalu.
Selepas dipinggirkan pasukan itu sepanjang tempoh perbicaraan kes tersebut, Mendy akhirnya didapati tidak bersalah dan dibebaskan daripada tuduhan itu sebelum kontraknya bersama City tamat Jun lalu.
“Nick De Marco KC adalah pihak yang mewakili bekas pemain Manchester City, Benjamin Mendy dalam tuntutan melibatkan jutaan ringgit kerana tindakan pasukan itu menolak gajinya tanpa kebenaran.
“Manchester City gagal membayar Mendy sebarang gaji sejak September 2021 sejak dia berdepan pelbagai tuduhan yang tidak berasas. Tuntutan ini akan dirujuk kepada tribunal pekerja,” kata kenyataan yang mewakili Mendy.
Terdahulu, Mendy dibebaskan daripada enam tuduhan rogol dan satu tuduhan melakukan serangan seksual Januari lalu, namun masih berdepan dua tuduhan yang perlu dibicarakan semula pada Julai.
Sebelum ini, Mendy menerima bayaran gaji sebanyak £100,000 (RM583,516) seminggu daripada City dan dia dijangka menerima pampasan ganti rugi bernilai puluhan juta ringgit sekiranya menang kes tersebut. – AGENSI