KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah individu yang layak memegang jawatan Menteri Kewangan.
Beliau berkata, ia bagi memastikan proses perolehan dan tatakelola kementerian itu benar-benar telus.
Katanya, kejadian-kejadian seperti yang pernah berlaku ketika pentadbiran terdahulu turut dapat dielak.
“Sebahagian besar dari perancangan pelan ekonomi dan dasar sederhana dan jangka masa panjang ditentukan oleh Kementerian Ekonomi kemudian pelaksanaan diusahakan bersama dengan kementerian yang ada mandat dan tanggungjawab dan tatakelola kerana Menteri Kewangan memastikan proses perolehan itu benar-benar telus.
“Sebab itu tokoh paling baik untuk menjadi Menteri Kewangan ialah Perdana Menteri kerana siapa yang ada tanggungjawab paling besar untuk memastikan tatakelola perolehan untuk mengelakkan seperti yang berlaku sebelum ini.
“Seperti kita pernah tahu ada kawan-kawan Jana Wibawa di sebelah sana (blok pembangkang di Dewan Rakyat),” katanya menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) di Dewan Rakyat hari ini.
Muhyiddin dalam soalan tambahannya bertanya jika kerajaan bersetuju mengasingkan jawatan Menteri Kewangan dari Perdana Menteri dan melantik seseorang yang lain sebagai menteri sepenuh masa dalam Kementerian Kewangan.
Sementara itu, Rafizi berkata, masalah ekonomi yang ditinggalkan oleh Kabinet terdahulu berstruktur termasuk penglibatan aktiviti ekonomi bernilai tinggi.
“Di mana yang Pagoh kata ekonomi tidak pulih? Semasa Pagoh jadi kerajaan selama 33 bulan, pernahkah ada tiga suku berturut-turut yang ada pertumbuhan ekonomi? Tiada. Tidak pernah ada. Ini kali pertama sejak bertahun lamanya.
“Kadar kemiskinan paling rendah, kenaikan gaji lebih tinggi dari sebelum ini, pertumbuhan ekonomi, momentum baik, inflasi paling rendah jadi di manakah Pagoh kata rakyat tiada keyakinan sedangkan kita lihat sedikit demi sedikit keyakinan itu telah pulih termasuklah dengan kemasukan pelaburan. Kalau Pagoh tidak yakin tidak mengapa tapi jangan guna dan tunggang nama rakyat dan pelabur-pelabur lain,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE