fbpx

Bekas pengurus besar PHB, penolong pengurus didenda RM30,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bekas pengurus besar Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan wanita masing-masing didenda RM30,000 kerana bersubahat dengan perunding syarikat itu bagi menipu  berkaitan projek pembinaan pusat beli-belah Mayang Mall di Terengganu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob menjatuhi hukuman itu terhadap Khairul Anuar Abd. Samad, 49, dan bekas pengurus perolehan dan kontrak Syarikat Gafis (M) Sdn. Bhd., Rosliza Lah, 47, dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara 30 hari jika gagal membayarnya.

Mahkamah mengenakan denda itu selepas kedua-dua mereka menukar pengakuan dan mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Rozina mengambil kira rundingan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 171a Kanun Prosedur Jenayah (CPC) dengan mengambil kira baki dua pertuduhan pilihan yang dikenakan.

Rozina turut memberi amaran dan peluang terakhir kepada mereka agar tidak mengulangi kesalahan sama.

“Tiada lagi peluang kedua buat kamu berdua, mahkamah berharap kamu (Khairul Anuar) mendapat pengajaran dan menjadi lebih bertanggungjawab terhadap keluarga kerana kamu penanggung tunggal,” ujar Rozina.

Khairul Anuar didakwa bersubahat dengan Mohd. Azhari Che Omar, 44, yang ketika itu Perunding PHB untuk menipu majikan mereka dengan membantunya menandatangani kelulusan pembayaran tuntutan oleh Syarikat Gafis sebanyak RM708,000.

Perbuatannya mendorong PHB membuat pembayaran yang dituntut oleh Syarikat Gafis pada 9 Disember 2020 berkaitan kerja-kerja menyiapkan projek pusat membeli belah tujuh tingkat di Terengganu.

Tuntutan itu merupakan pembayaran melibatkan kerja-kerja dalam projek `Cadangan Membina Dan Menyiapkan Pembangunan Bercampur Fasa 1′ untuk pusat beli belah tujuh tingkat di Terengganu yang mana ia tidak akan dibayar jika PHB mengetahui bahawa kerja-kerja itu tidak pernah dijalankan.

Rosliza pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Azhari membantu lelaki itu menyediakan dokumen untuk menipu PHB dengan memperakukan bahawa Syarikat Gafis layak mendapat pembayaran tuntutan berkala untuk jumlah serupa walhal kerja-kerja pembinaan projek tidak dijalankan.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI