KLUANG – Satu rakaman video sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 43 saat tular di laman sosial hari ini mendakwa gangguan ketukan pintu tanpa salam kembali menghantui penduduk di negeri ini.
Rakaman CCTV itu dikongsikan menerusi laman sosial Instagram dan TikTok milik Kluang Hari ini mendakwa kejadian berlaku kira-kira pukul 3.22 pagi, semalam di sebuah rumah di Taman Sri Lambak T6 di sini.
Semalam, Kosmo! Online melaporkan kejadian ketukan pintu rumah penduduk di Felda Air Tawar 5, Kota Tinggi Sabtu lalu sehingga menimbulkan pelbagai andaian termasuklah khuatir perbuatan jenayah selain tidak kurang juga menyangka ianya kejadian mistik.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu bagaimanapun telah menghantar anggotanya untuk membuat pemantauan lanjut.
Terdahulu, kejadian sama turut menghantui penduduk di sekitar Parit Raja dan Ayer Hitam, Batu Pahat, 8 November lalu.
Misteri ketukan itu terus menghantui penduduk terutama mereka yang tinggal di Kampung Parit Haji Siraj apabila semua rumah di kawasan itu menjadi ‘mangsa’ ketukan bermula awal pagi yang dipercayai ada kaitan dengan amalan ilmu hitam.
Selain kampung terbabit, beberapa lagi penduduk di kawasan lain seperti Parit Haji Salleh, Parit Samion, Parit Kangkar serta kawasan sekitarnya turut mengalami nasib sama.-KOSMO! ONLINE