SETIU – Seekor ular sawa seberat yang disyaki pernah menelan tiga ekor kambing peliharaan seorang penternak berjaya ditangkap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) di Kampung Kubang Puyu Chalok di sini hari ini.
Haiwan reptlilia seberat kira-kira 100 kilogram (kg) itu berjaya dijinakkan sebelum ditangkap pada pukul 9.15 pagi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Mohd. Nizu Husien berkata, sepasukan anggota APM bergegas ke kandang kambing tersebut sebaik dimaklumkan kehadiran ular sawa tersebut.
“Penternak kambing tersebut, Shukri Ab. Rashid, 49, memberitahu menyedari kehadiran ular sawa itu sewaktu melihat kandang kambingnya pada pagi ini.
“Dia mengesyaki haiwan reptilia sama yang menelan tiga ekor kambing peliharaannya yang telah hilang sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Mohd. Nizu berkata, haiwan reptilia berkenaan akan diserahkan kepada, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan selanjutnya pada masa terdekat.
Beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka dengan kehadiran haiwan liar dan reptilia sepanjang musim tengkujuh ini,”
“Biasanya haiwan-haiwan ini akan keluar mencari kawasan berlindung setelah habitat mereka dilimpahi banjir pada waktu ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE