PETALING JAYA – Penyanyi Hafiz Suip mengakui penampilannya dengan rambut berwarna hijau hanya sekadar gimik untuk mempromosikan semula namanya dalam industri sebelum mengumumkan kelahiran single terbaharunya berjudul Terus Bersinar.
Hafiz atau nama lengkapnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip, 33, berkata, walaupun mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam industri, namun dia perlu akur bahawa peranan gimik sangat membantu seseorang artis untuk mensensasikan semula nama dalam dunia hiburan.
“Saya akui dan tidak nafikan isu rambut hijau baru-baru ini, memang saya buat sekadar gimik untuk menarik perhatian semua orang.
“Mahu tidak mahu, perakara seperti ini (gimik) sudah menjadi lumrah selepas mewujudan media sosial,” kata Hafiz kepada Kosmo! Online.
Selain itu, Hafiz turut percaya ramai juga selebriti lain turut menggunakan platform media sosial untuk memasarkan diri dalam industri supaya relevan dan kekal dikenali.
“Hari ini, ramai selebriti menggunakan platform media sosial untuk pasarkan diri. Ikutkan, boleh saja buat cara lama untuk memperkenalkan diri dan beritahu tentang single terbaharu yang bakal dilancarkan.
“Namun, impaknya tidaklah seperti jika seseorang artis itu tampil dengan gimik sensasi. Seperti saya tampil dengan imej berambut hijau, secara tidak langsung tiba-tiba nama saya menjadi perhatian dan bualan netizen.
“Walaupun ada yang kata saya sudah punya nama besar sebab pernah menang anugerah, namun tetap guna gimik untuk mempromosikan diri,” ujarnya.
Bekas juara program Akademi Fantasia ketujuh (AF7) itu bagaimanapun tidak menolak menerima kecaman hebat daripada pelbagai pihak yang mempersoalkan tindakannya mewarnakan rambut kerana bertentangan dengan soal agama.
Hafiz ketika ditemui di majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Terus Bersinar, di SetiaWalk, Puchong berkata, dia sedar tentang hukum hakam seseorang muslim itu mewarnakan rambut, namun sebagai artis, dia perlu memikirkan strategi untuk mempromosikan diri dalam dunia hiburan.
“Memang ada yang mempersoalkan tindakan saya mewarnakan rambut dengan imej seorang muslim. Saya sedar dan tahu tentang hukumnya.
“Cuma dalam hal ini, saya berada dalam dunia hiburan. Sebagai penyanyi, saya perlu ada cara untuk meraih publisiti dan memasarkan diri.
“Sejujurnya, perasaan bersalah itu tetap ada. Tapi bila difikirkan semula apa yang saya buat ini atas tuntutan kerja, saya teruskan sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, Hafiz menarik perhatian peminatnya selepas hilang seketika dari radar dunia hiburan apabila tiba-tiba tampil dengan imej berambut hijau dalam media sosialnya.
Selepas lima hari menimbulkan tanda tanya, penyanyi itu kemudian telah membotakkan kepala sebelum mengumumkan tentang single terbaharunya berjudul Terus Bersinar yang dilancarkan semalam. – KOSMO! ONLINE