KAPTEN Harimau Malaya, Dion Cools memberi peringatan kepada rakan-rakan sepasukannya supaya segera mengalih tumpuan berdepan Taiwan pada aksi kedua Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 Stadium Perbandaran Taipei malam ini.
Cools yang menjaringkan dua gol dan dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan pada aksi pertama merasakan pesta tiga mata terdahulu sudah menjadi sejarah dan kini harus segera mencipta cerita baharu.
“Sudah pasti kami akan mengambil serius perlawanan ini dan tidak sabar untuk menghadapinya. Saya tidak fikir yang kami ada tekanan tambahan kerana kami kini hanya mahu capai sasaran.
“Kami tahu ia adalah cabaran sukar, namun kami tetap kena hadapinya. Untuk layak, kami tidak boleh cuai dan aksi kali ini pastinya penting untuk kami terus kutip tiga mata,” katanya.
Pada masa sama, Cools juga menjelaskan, seluruh pasukan khususnya tonggak pertahanan sudah mempelajari sesuatu daripada aksi dengan Kyrgyzstan.
Dengan kualiti yang ada pada pemain ketika ini, Cools menaruh keyakinan terhadap rakan-rakan sepasukannya bahawa Harimau Malaya tidak boleh lagi ulangi kesilapan sama seperti membenarkan Kyrgyzstan memperoleh tiga gol.
“Tiada guna terlalu ghairah atas kemenangan ke atas Kyrgyzstan jika gagal mendapatkan kemenangan pada aksi kali ini. Kami di barisan pertahanan sudah belajar, jadi lebih baik tampil lebih kukuh pada perlawanan selepas ini,” katanya.