PASIR GUDANG – Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) akan menangguhkan pelaksanaan cukai taksiran baharu yang dijadual berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
Ketua Whip Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG), Datuk Mohd. Amin Ahmad berkata, keputusan itu dibuat selepas Jawatankuasa Taksiran dan Cukai Harta bersetuju untuk mengkaji semula perkara itu.
Keputusan itu turut disokong Datuk Bandar Pasir Gudang, Datuk Asman Shah Abd. Rahman, yang mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPG di Menara Aqabah, di sini hari ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa, Ahli-Ahli Majis MBPG telah mengambil pendirian untuk tidak meluluskan dan tidak mengesahkan senarai nilaian baru dan kadar cukai baru keatas pegangan di kawasan MBPG.
“Kami telah memohon agar MBPG menyemak semula dan mengemukakan kertas cadangan baharu untuk kadar cukai harta yang lebih rendah berbanding yang dicadangkan sekarang.
“Sehubungan itu, perlaksanaan kadar cukai harta baru bagi kawasan MBPG akan tertangguh,” katanya ketika ditemui selepas mesyuarat itu.
Mohd. Amin menambah, MBPG akan mengemukakan cadangan baharu untuk dihantar ke mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMK) untuk disemak sebelum ia diluluskan.
“Semua proses ini perlu bermula dari peringkat awal, jadi ia akan memakan masa yang lama. Ini bermakna sebarang kadar baharu hanya akan dikenakan pada Januari 2025,” katanya.
Lima pihak berkuasa tempatan di negeri ini sedang menyemak semula cukai taksiran yang perlu dibayar pemilik hartanah yang berkuat kuasa pada awal tahun depan.
Selain MBPG, ia turut melibatkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Johor Baru (MBJB), Majlis Perbandaran Kluang (MPK), dan Majlis Perbandaran Pengerang (MPP).-KOSMO! ONLINE