GEORGE TOWN – Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah melaksanakan perancangan jangka masa panjang dan pendek untuk mengatasi masalah kekeruhan air di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua, Seberang Perai, dekat sini.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah melalui projek di bawah projek penyaluran air mentah dari Pam Mak Sulong ke Terusan Sungai Dua (fasa 2B).
Katanya, projek dengan kos peruntukan di bawah Kerajaan Pusat sebanyak RM72.4 juta itu dijangka siap pada akhir tahun 2023.
“Sehingga kini tahap kapasiti pelepasan air menerusi Empangan Mengkuang adalah sebanyak 300 juta liter sehari (JLH). Sekiranya projek fasa 2B disiapkan, kapasiti pelepasan air dari Empangan Mengkuang ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua akan ditingkatkan kepada 600JLH,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE