fbpx

Nasi lemak rezeki mangsa banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZARINA memberikan nasi lemak kepada mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal, Kuala Nerus.

KUALA NERUS – Seorang peniaga tidak sempat menjual nasi lemak selepas rumahnya dinaiki air di Taman Uda, Kampung Tok Jembal di sini awal pagi semalam.

Zarina Zainuddin, 44, berkata, ketika kejadian pukul 4 pagi itu, dia baru selesai memasak dan baru hendak memulakan kerja membungkus nasi lemak sebelum dihantar ke kedai makan berdekatan.

“Saya mula memasak nasi lemak pada pukul 3 pagi, sejam kemudian saya dapati air mula memasuki rumah dengan begitu cepat sehingga mencecah paras lutut.

“Dalam keadaan kelam kabut, saya tetap meneruskan kerja membungkus nasi lemak, namun cuma sempat siapkan 200 bungkus. Suami dan anak pula selamatkan dokumen,” katanya ketika ditemui semalam.

Menurut ibu empat anak itu, nasi lemak yang tidak sempat dibungkus itu kemudian dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk diberikan kepada mangsa banjir.

Cerita wanita itu, setiap hari dia menghantar sebanyak 400 bungkus nasi lemak untuk dijual di kedai makan sekitar Kampung Tok Jembal.

“Walaupun rugi, saya berasa tidak terkilan kerana dapat berkongsi rezeki dengan mangsa banjir di PPS,” ujarnya.

Keluarga Zarina merupakan antara 150 penduduk yang ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Tok Jembal.

Tambahnya, meskipun bah ibarat ‘acara tahunan’ selama 18 tahun menetap di sini, namun kejadian awal pagi semalam adalah sesuatu di luar jangka kerana air naik dalam tempoh singkat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI