PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu sebuah rumah di Kepong, Kuala Lumpur semalam yang dijadikan markas memproses pasport palsu.
Dalam serbuan pukul 6.30 pagi di Kepong Commercial Park itu, anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM berjaya memberkas dua lelaki warga Bangladesh berusia 26 dan 28 tahun yang juga orang kanan sindiket.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, suspek ditahan ketika bersama membawa bungkusan yang mengandungi 105 naskah pasport palsu.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, pihaknya turut menahan dalang utama sindiket berusia 33 tahun dikenali sebagai ‘Shimul’ di sebuah rumah yang dijadikan lokasi membuat pasport palsu.
“Pemeriksaan di rumah itu membawa kepada penemuan 15 lagi pasport palsu serta peralatan membuat pasport antaranya kulit pasport, komputer riba serta mesin pencetak.
“Jumlah keseluruhan pasport palsu yang dirampas dalam operasi ini adalah 120 pasport antaranya pasport negara Indonesia, Bangladesh dan Myanmar.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi selama setahun dan mereka mensasarkan warga asing yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atau pasport sebagai pelanggan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati, pasport palsu itu dijual dengan harga antara RM500 hingga RM700 bagi setiap pasport dan sindiket dipercayai mampu menghasilkan lima hingga 10 pasport palsu setiap hari bergantung kepada permintaan pelanggan. – KOSMO! ONLINE