MELAKA – Tindakan seorang pemuda mengambil jalan mudah membayar hutang along dengan mencuri wang peniaga lain membawa padah apabila dijatuhi hukuman penjara selama 21 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Khairunnisak Hassni membuat ketetapan itu selepas tertuduh, Muhammad Shafiq Nasir Lim, 23, membuat pengakuan bersalah sejurus lapan pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan satu hingga lapan, tertuduh dengan niat curang didapati telah mencuri lima bekas menyimpan wang, tiga beg silang dan wang tunai dengan nilai keseluruhan berjumlah RM3,455.50.
Semua kesalahan itu dilakukan di gerai dan tepi jalan sekitar Duyong, Batu Berendam, Bukit Katil, Kota Laksamana, Telok Mas dan Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah antara 13 Jun 2022 hingga 4 November 2023.
Terdahulu, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab. Malek yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman penjara minimum dikenakan dengan alasan pemuda itu menanggung isteri sarat mengandung dan anak dengan pendapatan sebanyak RM1,500 sebulan.
Tambahnya, tertuduh juga berbuat demikian untuk membayar hutang along sebanyak RM5,000 yang dipinjamnya.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara keseluruhan selama 21 bulan. – KOSMO! ONLINE