KUALA LUMPUR – Seorang jurutera teknologi maklumat didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membuat hantaran jelik menghina agama Islam berhubung isu homoseksual di laman sosial Facebooknya Januari lalu.
Bagaimanapun Ahmad Feisal Mohd. Kamil, 61, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim N.Priscilla Hemamalini.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Feisal didakwa secara sedar membuat dan memulakan hantaran komunikasi yang bersifat jelik menggunakan akaun Facebook miliknya ‘Feisal Kamil’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pukul 12.17 tengahari pada 10 Januari lalu.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman di sini pukul 1.45 petang pada 12 Januari lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Nurilya Ellyna Nor Azmal menawarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan OKS dilarang membuat sebarang hantaran sehingga kes selesai.
Peguam Muhammad Sufyan Wafiq Mohd. Zainal mewakili Ahmad Feisal memohon jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya penanggung tunggal keluarga.
“Anak guam saya mempunyai masalah kewangan, selepas ditipu semasa menguruskan penempatan anaknya yang belajar di Perancis. Berikutan, kejadian itu anak guam saya mengalami kerugiaan dan terpaksa menggunakan wang simpnannya untuk membayar kos perbelanjaan anaknya di negara itu,” kata peguam tersebut.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan OKS diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember ini bagi sebutan semula kes dan serahan dokumen – KOSMO! ONLINE