DOHA, Qatar – Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh mengumumkan bahawa pergerakan pejuang Palestin itu semakin hampir untuk memeterai perjanjian gencatan senjata dengan Israel, demikian menurut satu kenyataan yang disiarkan di platform Telegram hari ini.
“Kami hampir mencapai perjanjian mengenai gencatan senjata,” kata Ismail berdasarkan tulisannya di aplikasi itu.
Tiada maklumat lanjut diberikan mengenai perkembangan berkenaan.
Para perunding telah berusaha untuk memeterai perjanjian bagi membenarkan pembebasan kira-kira 240 tahanan dengan kebanyakannya penduduk Israel, yang ditawan Hamas pada 7 Oktober lalu.
Rundingan itu berlangsung secara sengit dengan Qatar menjadi pengantara, di mana Hamas mempunyai pejabat politik di situ dan tempat Ismail beroperasi.
Semalam, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden berkata, beliau percaya perjanjian untuk membebaskan tebusan sudah hampir untuk dipersetujui.
“Saya percaya begitu,” kata Biden apabila ditanya sama ada perjanjian tebusan sudah hampir dimeterai antara kedua-dua pihak.
Dua sumber yang biasa dengan rundingan itu memberitahu AFP bahawa perjanjian tentatif termasuk gencatan senjata selama lima hari itu melibatkan gencatan senjata di darat selain operasi udara Israel di selatan Gaza dihadkan.
Sebagai balasan, antara 50 dan 100 tebusan yang ditahan oleh Hamas dan kumpulan Jihad Islam, yang merupakan sebuah kumpulan pejuang Palestin berasingan akan dibebaskan. – AFP