PETALING JAYA – “Alhamdulillah kaki kakak dah boleh gerak. Ya Allah terima kasih, terima kasih sangat-sangat Ya Allah betulkan kaki kakak.”
Demikian luahan sayu seorang kanak-kanak perempuan apabila pembedahan kakinya berjalan dengan lancar.
Menerusi perkongsian ibunya di TikTok @Hazwani2228, kedengaran suara kanak-kanak itu berulang kali mengucapkan kata syukur kepada Allah selain turut berterima kasih buat keluarganya serta pasukan perubatan yang banyak membantu.
Menurut ibunya, anaknya mula mengalami masalah sukar berjalan sejak berusia dua tahun dan telah melakukan beberapa kali pembedahan pada kaki kanan.
“Umur dua tahun kakak tiba-tiba tak boleh jalan, doktor suspek kanser. Masa itu hanya Allah yang tahu perasaan ummi. Duduk dalam kalangan pesakit kanser macam-macam ummi dapat. Akhirnya, alhamdulillah selepas biopsi, doktor sahkan bukan kanser.
“Doktor buang tulang (kaki kanan) kakak sebab tak nak dia merebak ke tempat lain. Pembedahan pertama kakak, masa ini umur kakak empat tahun buat pertukaran tulang,” kongsinya.
Tambah Hazwani, yang terbaharu anaknya perlu melakukan sekali lagi pembedahan untuk membantu meluruskan struktur kaki kanak-kanak itu.
“Pernah buat pembedahan tukar tulang dan ini kali ketiga buat pembedahan, tulang masih tak cantun dan kaki anak jadi bengkok. Kali ini doktor tambah plat dan luruskan balik (kaki) yang bengkok,” jelasnya.
Dalam video yang dikongsikan itu jugak, kanak-kanak tersebut turut berjanji kepada ibunya untuk tidak lagi bermain dengan lasak selain mahu membantu wanita ibu mengemas pakaian di rumah.
“Kakak janji kakak tak akan lari, tak akan loncat, kakak akan jaga kaki kakak dan kakak tak nak keluar tunggu dah cantum (tulang kaki) baru kakak keluar.
“Lepas itu kakak nak tolong ummi lipat baju. Terima kasih doktor. Semoga kakak cepat sembuh, kakak nak bergerak macam orang lain. Ya Allah sembuhkan lah saya, semoga saya dapat solat, baca al-Quran, buat baik dengan orang,” ujar kanak-kanak itu sambil menangis.
Perkongsian Hazwani di TikTok telah meraih hampir sejuta tontonan dan rata-ratanya tersentuh mendengar perbualan kanak-kanak itu dengan ibunya.
“Alhamdulillah, kecil-kecil lagi dah pandai bersyukur pada Allah, sejuk perut mak ayah,” kata Zaf Zainal.
“Alhamdulillah, masya-Allah. Anak solehah ini. Moga terus sihat, aktif dan ceria kakak,” komen @NNABM_
“Ya Allah, pandainya kakak… Cikja pun nangis dengar doa kakak. Semoga Allah makbul doa kakak, anak solehah,” kata Syahza. – KOSMO! ONLINE.