PEMAKAIAN kaca mata hitam pada asalnya adalah untuk melindungi mata daripada sinaran ultraungu (UV) yang boleh menyebabkan masalah lain seperti kerosakan retina.
Begitu pun, ia kemudiannya berkembang menjadi salah satu aksesori fesyen paling disukai dan dianggap sebagai pelengkap gaya.
Malah, ada individu yang menjadikan kaca mata hitam sebagai aksesori wajib dan terasa diri umpama tidak cukup lengkap sekiranya tidak memakai kaca mata hitam.
Menurut pencipta kandungan, Maggy Wang, fungsi sepasang kaca mata hitam tidak hanya terhad kepada pelindung mata, malah ia juga menjadi pelengkap gaya hariannya.
“Kaca mata hitam bukan sahaja berfungsi untuk melindungi mata kita daripada cahaya matahari, tetapi ia juga berfungsi sebagai satu aksesori pelengkap gaya.
“Pemilihan kaca mata yang tepat mengikut saiz wajah, gaya ditonjolkan dan keselesaan adalah cukup penting bagi menyerlahkan keperibadian seseorang,” katanya.
Tambah Wang, sama seperti kebanyakan individu lain, dia juga pernah keliru dengan cara memilih kaca mata yang sesuai mengikut bentuk wajahnya.
Justeru, berbanding membeli kaca mata hitam secara online, lebih baik mencuba sendiri kaca mata di kedai berhampiran anda.
Ia merupakan kaedah terbaik untuk mengetahui sama ada rekaan dimahukan itu sesuai dengan bentuk wajah anda atau tidak.
“Sunglass Hut yang merupakan peruncit bagi kaca mata berjenama seperti RayBan, Armani dan Coach sering menjadi pilihan ramai kerana ia menawarkan pelbagai rekaan sama ada untuk wanita atau lelaki.
“Malah, seleksi kaca mata yang ditawarkan juga cukup inklusif, sekali gus memudahkan saya memilih rekaan sesuai dengan bentuk muka,” katanya.
Sempena sambutan Krismas pada Disember depan, Sunglass Hut baru-baru ini telah melancarkan koleksi kaca mata percutian bertempat di restoran Apollo Dining, Bangsar, Kuala Lumpur.
Pelbagai koleksi daripada gaya klasik sehingga gaya bold dengan bingkai bertatahkan batu Swarovski ditawarkan buat mereka yang mahu tampil dengan imej berbeza.
Pemilihan kaca mata sesuai perlu dimulakan dengan mengenal pasti bentuk wajah anda.
“Misalnya, kaca mata berbentuk petak cukup sesuai digayakan oleh mereka yang memiliki bentuk wajah bulat.
“Ini kerana, bentuk petak dengan saiz yang sesuai mampu mengimbangi wajah bulat,” ujar Wang.
Sepanjang tahun ini, terdapat beberapa trend kaca mata yang digayakan oleh beberapa selebriti di seluruh dunia.
Antaranya, supermodel terkenal, Bella Hadid dilihat lari sedikit daripada trend biasa. Dia dilihat menggayakan sepasang kaca mata berbentuk bujur dengan bingkai merah jambu pastel bersama lensa jingga.
Padanan warna bingkai dan lensa berbeza itu menjadikan wajah Hadid tampak lebih lembut.
Pelakon Bollywood, Sonakshi Sinha pula cukup menggemari gaya cermin mata hitam berbingkai besar yang membolehkannya tampil lebih misteri.
Rekaan tersebut juga dipanggil sebagai mask glasses yang dicipta untuk menyembunyikan mata letih.
Gaya tersebut juga berfungsi untuk melindungi wajah selebriti daripada dirakam kamera.