KOTA BHARU – Hujan lebat menyebabkan beberapa kampung yang terletak di kawasan rendah di Melor di sini mula dinaiki air sejak awal pagi tadi.
Tinjauan Kosmo! mendapati beberapa jalan terutamanya di kawasan Kampung Melor, Kampung Sri Kulim dan Kampung Tasek di sini mula dinaiki air.
Penduduk dilihat mula mengambil langkah awal dengan memindahkan kenderaan ke tempat yang lebih tinggi memandangkan kawasan tersebut terletak berhampiran dengan Sungai Melor dan terlibat dengan projek naik taraf Jalan Melor ke Pak Badol.
Seorang penduduk, Wan Mansor Wan Mahmood,70, berkata, dia dan keluarga sudah mula memindahkan barangan di kedai runcitnya sebagai persediaan menghadapi banjir kerana air mula melimpah di sekitar kampungnya sejak awal pagi tadi.
Menurutnya, setakat ini, air mula naik setinggi 0.3 meter sejak pukul 9 pagi tadi dan dijangka terus meningkat berdasarkan keadaan cuaca dan hujan lebat yang berterusan.
“Limpahan air mula meningkat lebih cepat apabila hujan semakin lebat. Keadaan itu menyebabkan beberapa laluan masuk ke kampung tidak boleh dilalui kenderaan ringan.
“Kebiasaannya, beberapa kampung di Melor menjadi kawasan terawal dinaiki air kerana ia berdekatan dengan sungai selain beberapa faktor lain termasuk projek naik taraf jalan Melor ke Pak Badol,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Tinjauan Kosmo! turut mendapati dua buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pak Badol dan SK Sri Melor mula dinaiki air sejak semalam, namun sesi pembelajaran tidak terjejas dan diteruskan seperti biasa. – KOSMO! ONLINE