fbpx

Estranged nak jemput Fazura jayakan konsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ESTRANGED

KUALA LUMPUR – Demi membangkitkan nostalgia peminat, kumpulan Estranged berhasrat untuk mengundang penyanyi Fazura ke konsert Apa Khabar Teman? yang akan berlangsung pada 3 Februari 2024 di Persada Johor, Johor Bahru.

Menurut pemain gitar kumpulan itu Din Harmatov, pada konsert berkenaan Estranged akan menjemput beberapa orang penyanyi yang pernah terlibat dalam perjalanan karier muzik kumpulan itu.

“Memang kami akan menjemput beberapa orang penyanyi jemputan yang terdiri daripada teman-teman untuk memeriahkan lagi konsert ini.

“Kalau Fazura dapat sertai pun lebih meriah kerana dia pun termasuk dalam perjalanan karier muzik Estranged. Tetapi buat masa ini kami belum dapat mengesahkan perkara tersebut.

“Pihak kami akan mengumumkan nama-nama penyanyi jemputan secara berperingkat,” tutur Din atau Solihuddin Hormat.

Fazura pernah berduet dengan kumpulan Estranged menerusi lagu Hancur Aku yang dikeluarkan pada 2015. Lagu tersebut pernah mencetuskan fenomena apabila tersenarai dalam Separuh Akhir Muzik Muzik 31 pada 2016.

Konsert Apa Khabar Teman? merupakan konsert kemunculan semula kumpulan Estranged yang dianggotai oleh Rich Gimbang(vokalis), Din (gitar) dan Hanafi Hadi (gitar) selepas tujuh tahun tidak aktif di semenanjung.

Selama tempoh berkenaan, kumpulan yang pernah bergelar pemenang Anugerah Juara Lagu ke-22 menerusi lagu Itu Kamu itu hanya aktif di Sabah dan Sarawak.

“Rasanya sudah tiba masa yang sesuai untuk kami aktif dan mengadakan konsert besar di semenanjung. Jika mendapat sambutan, kami akan mengadakan konsert ini ke lokasi berbeza di sekitar semenanjung, Sabah dan Sarawak,” ujar Rich.

Tiket-tiket berharga RM99 sehingga RM300 akan mula dijual pada 27 November ini menerusi laman web, www.ticket2u.com. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI