MANJUNG – Seorang pemandu lori tertekan apabila bukan sahaja kini terlantar, malah terpaksa bergantung kepada isteri dan ahli keluarganya untuk bergerak selepas diserang penyakit saraf sejak Oktober 2021.
Mohd. Halmeeza Abd. Halim, 38, berkata, penyakit itu telah menghalangnya untuk menyara keluarga kerana tidak lagi dapat memandu lori seperti sebelumnya.
Katanya, dia kini bergantung kepada isterinya, Noraini Jamalludin, 38, kerana penyakit itu menyebabkan pergerakannya terbatas kerana pinggang dan kakinya tidak dapat digerakkan.
“Petanda sakit ini dirasai selepas saya mengambil suntikan vaksin Covid-19. Dalam tempoh dua minggu, tubuh saya rasa seperti ada yang tidak kena.
“Saya tidak boleh tidur hingga terpaksa melelapkan mata dalam keadaan duduk. Ketika itu rasa badan tak selesa, manakala kaki mula membengkak dan saya ingatkan terkena gout,” katanya ketika ditemui di Sitiawan di sini semalam.
Menurut Mohd. Halmeeza, keadaan bertambah serius ketika saya berkunjung ke rumah bapanya di Tambun di sini, apabila dia tiba-tiba jatuh dan tidak mampu bangun.
Tambahnya, dia kemudian dimasukkan ke Hospital Seri Manjung selama seminggu sebelum disahkan menghidap penyakit saraf.
“Doktor kata saya perlu dibedah tetapi risiko terlalu banyak. Saya kemudian menjalani rawatan fisioterapi di sebuah pusat rehabilitasi di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial di Melaka selama tiga minggu,” katanya.
Ujar Mohd. Halmeeza, dia dimaklumkan pembedahan itu akan membantu memulihkan masalah dihadapinya, namun dia berisiko untuk lumpuh dan kos rawatan juga tinggi.
“Akhirnya, saya memilih untuk pulang ke rumah dan menjalani pemeriksaan secara berkala dengan pihak hospital. Buat masa ini, saya ada menerima pencen ilat bernilai RM1,072 sejak April lalu serta bantuan baitulmal RM300 sebulan,” katanya.
Menurut Mohd. Halmeeza, isterinya bekerja sebagai pembantu kedai makan dan mereka membelanjakan RM400 sebulan untuk membeli barangan keperluan seperti lapik tilam katil, kapas dan lampin dewasa.
Selain itu, Mohd. Halmeeza berkata, kos sebanyak RM300 juga digunakan dari semasa ke semasa bagi perkara seperti khidmat ambulans ke hospital serta perubatan.
“Saya sedih mengenangkan nasib diri dan anak-anak. Hana Delisha, 7, dan Hani Natasha, 3, pun tertanya-tanya sampai bila keadaan ini akan berterusan.
“Bagaimanapun, saya reda dengan keadaan ini. Saya harus kuatkan diri demi isteri dan anak-anak,” katanya yang boleh dihubungi di talian 016-364 2480.