GEORGE TOWN – Dua buah sekolah antarabangsa di daerah Timur Laut di sini turut menerima ugutan bom melalui emel dipercayai pengirim yang sama, hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, sebanyak dua laporan polis telah dibuat oleh dua pengadu berlainan dan dua kertas siasatan berasingan telahpun dibuka.
Menurutnya, pihaknya menerima laporan berkaitan kejadian berkenaan kira-kira pukul 11.20 pagi di Tanjong Tokong manakala satu lagi laporan pada pukul 12.27 tengah hari di Jalan Dato Keramat, di sini.
“Kedua-dua sekolah menerima kandungan emel yang sama pada hari ini dari penghantar emel yang sama.
“Emel yang dihantar bertajuk bahan letupan telah ditanam di sekolah dan kandungan emel menceritakan penghantar emel mengalami masalah hidup di mana dibenci oleh orang sekeliling, ayah merogolnya sejak kecil dan dihina di sekolah,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini, sebanyak sembilan buah sekolah antarabangsa di sekitar ibu negara dan Selangor dilaporkan menerima ancaman bom melalui hantaran emel.
Perkara berkenaan disahkan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid dan Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, hari ini.
Jelasnya, pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) IPK Pulau Pinang dan Unit Anjing Pengesan (K9) hadir ke kedua-dua tempat kejadian.
“Hasil pemeriksaan dapati tiada apa-apa yang mencurigakan dan pasukan bomba juga berada di kedua-dua lokasi kejadian,” katanya.
Tambahnya, permohonan semakan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) akan dibuat untuk kenalpasti butiran pemilik emel.
Beritahu beliau, kes disiasat mengikut Seksyen Sek 507 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah. -KOSMO! ONLINE.