PETALING JAYA – Orang ramai dijemput memeriahkan penganjuran Festival Anifest Malaysia 2023 bertemakan animasi, komik, hobi dan pendidikan berlangsung pada 24 hingga 26 November ini, di KL Gateway Mall, Kuala Lumpur.
Penganjuran festival kali ketujuh ini mendapat penyertaan 100 pempamer antaranya studio-studio animasi, penerbit komik, pencipta kraf, pengumpul barangan permainan serta 10 institusi pengajian tinggi (IPT).
Presiden Persatuan Animasi Malaysia, Ameir Hamzah Hashim berkata, pelbagai aktiviti turut disediakan kepada orang awam dan mereka juga berpeluang menyertainya dengan menampilkan hadiah menarik.
“Antara aktiviti tersebut termasuk sudut pameran, pertandingan ‘doodle’, mewarna dan melukis kanak-kanak, bengkel mini, bual bicara animasi, mencari harta karun, ‘cosplayer’ dan pelbagai lagi.
“Kita turut menyediakan bengkel melukis komik bersama Ustaz Kartun pada 25 November ini dengan tema Demimu Palestin,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Ameir Hamzah berkata, seperti penganjurannya sebelum ini, Festival Anifest Malaysia mendapat sambutan meriah daripada pengunjung sekitar 7,000 hingga 10,000 orang.
“Justeru, kita menjangkakan kehadiran pengunjung yang lebih ramai pada kali ini ditambah pelbagai aktiviti disediakan kepada mereka.
“Pada festival kali ini akan berlangsung pelancaran Program Candawara TV iaitu ‘Inspirasi Malaysia’ serta platform komik digital tempatan SakoComic dan sebuah komik baharu bertajuk Hero Bara Api,” katanya.
Festival itu dijadualkan dirasmikan oleh Pengerusi Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh pada 25 November ini.
Mengulas lanjut, Ameir Hamzah berkata, Inspirasi Malaysia adalah program TV melibatkan 15 artis doodle dalam program Doodle pertama di Malaysia diterbitkan melalui inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia tahun ini.
“SakoComic pula dihasilkan anak seni Perak iaitu Orang Berbakat Luar Biasa (PORT). Sebelum ini peminat membaca komik daripada platform luar negara dan dengan adanya platform tempatan ini, ia memberi sokongan penggiat komik tempatan,” ujarnya.
Festival Anifest Malaysia 2023 ini turut bekerjasama dengan 45 agensi tempatan antaranya Pakaian Hari-Hari, Persatuan Pengiat dan Pelukis Komik Malaysia (Pekomik).
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung Festival Anifest Malaysia 2023 boleh melayari Facebook Anifest Malaysia. – KOSMO! ONLINE.