PETALING JAYA – Sebanyak RM1.8 juta dana dari Unit Agropreneur Muda Bahagian Industri Makanan Dan Asas Tani, Kementerian Pertanian Dan Keterjaminan Makanan diperuntukkan kepada Agrobank, dalam usaha memantapkan penglibatan golongan muda ke dalam sektor pertanian.
Program berbentuk pembangunan komuniti berstruktur khusus untuk golongan B40 dan juga asnaf ini bermatlamat untuk membantu anak muda khususnya yang masih mengikuti pengajian untuk meningkatkan pendapatan selain mengurangkan kos memulakan projek dalam bidang pertanian dan agromakanan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin Agrobank bertindak sebagai fasilitasi dalam penyediaan modul dan juga latihan bimbingan melalui Agrobank Centre of Excellence (ACE).
“Setakat ini sebanyak lima Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan satu Kolej Vokasional telah menyertai program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST) yang telah dimanfaatkan oleh hampir 100 peserta secara keseluruhan.
“Melalui program ini saya yakin dapat memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya golongan belia mengenai peluang pekerjaan berpendapatan tinggi melalui bidang pertanian selain membantu pelajar asnaf menjana pendapatan dan menampung keperluan sara hidup yang tinggi pada ketika ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, inisiatif ini adalah sejajar dengan usaha kerajaan untuk memastikan bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, menepati kehendak pasaran, berkualiti dan selamat dimakan.
“Dengan peruntukan dana yang diberikan untuk pembangunan infrastruktur projek, bimbingan teknikal daripada syarikat peneraju dan juga latihan keusahawanan melalui Agrobank saya yakin keberhasilan program ini dapat dicapai dan seterusnya menggalakkan penglibatan golongan muda dalam sektor pertanian,” ujarnya.
Kriteria pemilihan peserta bagi program ini mengikut Garis Panduan Program Agropreneur Muda dan Agrobank proaktif dalam memastikan setiap institusi yang terlibat berjaya menghasilkan penambahan dalam pendapatan.
Menurut rekod sebelum ini, ada di antara peserta yang telah mencapai peningkatan pendapatan daripada RM2,000 sehingga RM3,000 sebulan melalui hasil jualan tanaman mereka.
Majlis penyerahan ini berlangsung dalam sambutan Hari Peladang Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Dataran Bulatan Sultan Azlan Shah.
Antara Institusi Pengajian Tinggi yang terlibat bagi program Pembangunan Belia Tani di Kalangan Siswazah (PROBEST) adalah Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Mara Jasin, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Sabah dan satu Kolej Vokasional iaitu Kolej Vokasional Pasir Puteh, Kelantan. – KOSMO! ONLINE