PETALING JAYA – Uptown Kota Damansara di Jalan Teknologi Kota Damansara, di sini, dilaporkan terbakar hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pukul 8.34 malam ini.
Katanya, seramai 23 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Buloh, BBP Kota Anggerik, BBP Damansara, BBP Petaling telah dikerahkan ke lokasi.
“Anggota tiba di lokasi pukul 8.43 malam dan mendapati kawasan bangunan gerai-gerai yang beroperasi di kawasan itu terbakar 90 peratus.
“Seterusnya, bangunan Gym turut terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 9.06 malam dan kerja-kerja overhaul sedang dilakukan oleh anggota bomba.
“Tiada kemalangan jiwa terlibat dalam kebakaran ini manakala punca kebakaran masih dalam siasatan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.