JOHOR BAHRU – Restoran mamak sentiasa menjadi perhatian daripada semua kategori umur, kerjaya, bangsa dan agama di negara ini bukan sahaja kepada penduduk tempatan juga dalam kalangan pelancong asing.
Pelbagai faktor menarik telah membolehkan pelanggan tidak pernah jemu berkunjung ke restoran mamak.
Bukan sekadar untuk menjamu selera bersama keluarga, orang tersayang atau membuat temu janji, ia juga tempat mengadakan pertemuan singkat serta untuk ‘melepak’ bersama rakan-rakan sambil menonton perlawanan bola sepak secara langsung.
Selain cawangan di merata ceruk dan tempat serta beroperasi selama 24 jam, ia membolehkan perniagaan ini membantu menyokong kepada perkembangan ekonomi semasa.
Bersandar potensi itu, seorang pengasas produk, Datin Dr. Norfarisha Anvar Basha, 40, yang berasal dari Sungai Pinang, Georgetown, Pulau Pinang telah menceburi bidang makanan dan minuman (F&B) bagi memberi pilihan berbeza kepada masyarakat dan peminat restoran mamak.
“Jika sebelum ini, orang ramai suka menjamu selera di restoran mamak, apa kata mereka ubah minat kepada restoran Mami yang turut menghidangkan nasi kandar terbaik dari Pulau Pinang,” katanya ketika ditemui pada majlis pembukaan Mami Fasha Bistro di Bandar Dato Onn di sini baru-baru ini.
Norfarisha menjelaskan, bersandarkan pengalaman suaminya, Datuk Mohamed Azmir Abdul Ali, 42, yang berasal dari Singapura dan telah mula berniaga sejak remaja dalam jualan nasi kandar secara turun-temurun bermula daripada datuknya telah membolehkan mereka mengambil peluang keemasan itu untuk membuka sebuah restoran di sini.
Sebelum ini, mereka banyak terlibat dalam pelbagai bidang pelaburan dan perniagaan menerusi kerjasama dengan rakan kongsi lain untuk menjayakan sesebuah bisnes.
Namun, kini mereka mengambil langkah berani untuk membuka Mami Fasha Bistro.
“Suami saya memiliki pengalaman luas dalam bidang ini dan saya berkeyakinan peluang ini akan memberi nilai tambah kepada perniagaan sedia ada termasuk kedai makan di Singapura,” jelasnya.
Tambah beliau, kombinasi idea membangunkan perniagaan antara selatan dan utara khususnya Pulau Pinang telah membolehkan mereka menawarkan menu makanan dan minuman terbaik kepada para pelanggannya di restoran tersebut.
Restoran beroperasi selama 24 jam dengan sokongan daripada hampir 40 kakitangan yang bekerja dalam dua syif membolehkan Norfarisha menawarkan makanan yang pelbagai daripada sajian sarapan, nasi kandar dengan pelbagai lauk-pauk menyelerakan serta juadah lain sepanjang tempoh berkenaan.
Mengulas mengenai kerjayanya sebagai Pengasas syarikat Q Herbs HQ Sdn. Bhd., Norfarisha membina empayarnya daripada peringkat asas sehingga membina jenama dengan memiliki kira-kira 60 produk penjagaan kesihatan dan kecantikan serta memiliki sebuah kilang
Selama 13 tahun beliau dalam bisnes yang penuh dengan pelbagai cabaran turun naik graf prestasi bisnes itu telah membolehkan wanita berkenaan mencipta nama dalam bidang tersebut.
“Saya memiliki enam cawangan di Singapura dengan rangkaian perniagaan yang semakin kukuh sehingga membolehkan saya meneroka dalam F&B bagi menyokong minat dan kesungguhan suami dalam industri ini.
“Saya memiliki banyak pengikut di Singapura dan ini satu kelebihan buat syarikat.
“Lebih menarik, kami memenuhi kehendak dan selera pelanggan dari negara jiran. Kami memperkenalkan menu mi kombo yang mana ia terdiri daripada sup kambing, ayam tandori, pilihan sama ada mi goreng atau nasi goreng bersama kentang goreng.
“Ini adalah menu popular yang dihidangkan di restoran milik suami di Singapura,” jelasnya sambil menambah, restoran tersebut turut menawarkan teh tarik surrr yang mana cara pembuatan minuman popular itu dihasilkan oleh kakitangannya yang mahir dalam pembuatan teh tarik dari Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, Norfarisha merancang untuk membuka satu cawangan pada setiap tahun selama tiga tahun berturut-turut bagi mengembangkan perniagaannya pada masa depan.
Selain lokasi baharu di Johor dan Kuala Lumpur, beliau tidak menolak kemungkinan untuk membuka cawangan di Singapura pada masa depan. -KOSMO! ONLINE